
DALAM pada semakin ramai menyuarakan mahu bertanding jawatan Naib Presiden UMNO akan datang, jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pun sudah bertambah seorang lagi menyatakan kesediaan untuk menyertai senarai calon Ketua Pemuda yang kini terdiri daripada Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Mohd Khir Toyo, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan yang terbaharu ahli UMNO Bahagian Teluk Intan, Perak, Mohd Ramlan Yunus.
Entah-entah, tidak lama lagi, adalah seorang dua atau tiga empat orang lagi akan mengumumkan kesediaan mereka menyertai kumpulan merebut jawatan yang bakal ditinggalkan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein kerana beliau sudah pun menyatakan mahu merebut kerusi panas Naib Presiden nanti.
Tidak tahulah Ramlan regu siapa tetapi yang nyata masing-masing nampaknya mempunyai matlamat yang paling utama akan memperjuangkan hak Melayu dan akan mempertahankan matlamat asal parti serta berjanji membawa perubahan yang sudah lama ahli inginkan. Bagaimanapun beliau tidak menyatakan apa yang ahli inginkan sebenarnya. Bab ini samar-samar.
Nampaknya ruang untuk Khairy melangkah anak tangga ke jawatan Ketua Pemuda sudah semakin sempit apabila semakin ramai yang meminati jawatan Ketua Pemuda dengan misi masing-masing. Namun ramai menjangkakan antara Khairy dan Mohd Khir, akan berlaku ‘tough fight’ sementara Mukhriz, Zahidi dan Ramlan hanya suka berhimpit-himpit mencuba nasib kalau-kalau menjadi. Kalau tak menjadi pun sekurang-kurangnya nama mereka akan tercatat dalam sejarah pemuda yang mereka pernah menawarkan diri. Lebih lagi kalau mendapat pencalonan yang cukup.


















